Tuesday, November 24, 2009

HATI SEORANG LELAKI MELAYU

Saya seorang lelaki Melayu yang biasa. Belajar taklah pandai sangat. Ligat sini sana adalah.
Saya ada seorang teman wanita. Dia cantik dan setia. Kami telah lama bersama. Dia adalah rakan sekelas saya di sekolah rendah dulu.
Bila usia dah mula meningkat 20an, saya masih tercari-cari kerja yang sesuai. Makwe lagi lah resah. Bilalah agaknya kami dapat disatukan. Namun keluarganya minta kahwin dulu, kerja bolehlah cari perlahan-lahan.
Saya akurlah akhirnya memandangkan semua orang berkata begitu. Saya disatukan dengan teman wanita saya dalam keadaan ekonomi saya yang tidak begitu baik.
Alhamdulillah, kami bahagia selepas berkahwin. Isteri saya akhirnya dapat kerja di Pejabat Daerah. Saya pula mendapat kerja di sebuah kolej yayasan negeri sebagai pemandu.
Kerja saya tidak tetap masa, tapi overtimenya banyak. Setiap bulan boleh mencecah RM3 - 4 ribu. Jadi tiba-tiba kaadaan ekonomi saya menjadi baik.
Mulut saya mula jadi besar terhadap adik-beradik saya, ibu bapa saya, dan juga isteri saya. 'Orang kaya baru' lah katakan.
Saya memasang angan-angan untuk tukar kereta tidak lama lagi. Dalam masa sibuk-sibuk pun saya sempat juga berkenalan dengan seorang guru tadika yang amat memikat hati saya. Saya selalu berjumpa dengan dia dan akhirnya kami bercinta. Selepas beberapa ketika, terdetik hati saya untuk mengambilnya sebagai isteri.
Adik-beradik saya yang mengetahui perkara ini tidak merestui kami, begitu juga dengan ibu saya. Isteri saya apa lagi menangis tak henti-henti dan meminta untuk diceraikan sekiranya saya berdegil untuk berkahwin lagi. Saya sayang isteri saya, saya cuba menenangkan dia dan memujuk hatinya. Tapi saya juga amat sayang pada wanita itu.
Kadang-kadang untuk menyedapkan hati semua orang, saya akan mengatakan saya dah putuskan hubungan dengan wanita itu. Perkara ini berlanjutan selama beberapa bulan.
Adik-beradik saya terus memujuk dan memberi tekanan kepada saya agar saya tinggalkan wanita itu. Isteri saya juga tahu saya masih bersama wanita itu. Saya rasa dia pernah memeriksa data dalam handfon saya. Kami juga sering bertegang berkait dengan perkara itu, sering saya kena memujuk dan 'menipu'nya.
Baru-baru ini saya menerima satu tamparan hebat. Saya ditamatkan perkhidmatan oleh majikan saya! Saya tak jangka perkara begini boleh berlaku.
Saya tak tahu bagaimanakah masa hadapan saya. Kalau keadaan tidak menjadi baik, saya terpaksalah bergantung kepada isteri saya selepas ini. Nasib baik kereta baru belum dibeli lagi, nasib baik saya belum kahwin yang ke-2 lagi.
Saya dah hilang hak untuk bercakap besar lagi. Kini saya menghantar dan mengambil isteri saya pergi dan pulang kerja. Dan mencari kerja yang sesuai untuk diri ini ... dan wanita itu ... saya tak tahulah...

No comments: