Saturday, June 26, 2010

LELAKI TERLALU EGO...

Selamat Pengantin Baru, Ezz. Gembira dapat lihat kamu bersanding, selepas 10 tahun tidak berjumpa.
Kamu telah disatukan dengan jejaka pilihan hati, tahniah.
X X X
Tempoh hari dapat tahu kamu mengeluh kerana si dia terlalu pendiam, dan tidak menyatakan kepada kamu kalau ada masalah pun.
Ezz, kalau dia lelaki pendiam, maka tepatlah apa yang kamu lalui. Tidak ada apa-apa yang perlu dirisaukan. Pada kebanyakan masa, lelaki memang suka menyelesaikan masalah sendiri.
Pada dasarnya, beza antara lelaki dan perempuan ialah: lelaki terlalu ego, dan perempuan selalu tak sabar.
Apa kata kalau lelaki kurangkan sedikit egonya, dan perempuan tingkatkan kesabaran sedikit, keadaannya pasti banyak berbeza.
Ezz, itulah dugaan dan cabaran pasangan berkahwin. Yang penting hatinya, dan sayangnya kepada kamu itu adalah benar dan ikhlas.
InsyaAllah semuanya akan selamat dan kamu akan hidup bersamanya hingga ke akhir hayat.

:-D

Wednesday, January 27, 2010

CIKGU DISIPLIN SAYANG KAMU...

Hari ini terdengar kisah murid-murid menulis karangan asyik-asyik sebut nama saya! Kononnya "cikgu ahmad denda saya lari padang 3 pusingan", kononnya "Tiba-tiba cikgu Ahmad merotan saya 2 kali!" dan entah apa-apa punya asal dapat sebut nama saya... macam saya ni memang kaki pukul...
Saya seorang guru disiplin yang baru dilantik. Seperti guru disiplin yang lain, saya berlagak garang! Tak bagi peluang, lelaki, perempuan, ketua kelas mahupun pengawas, asal ada salah memang kena marah, amaran atau dicatat nama. Untuk makluman, itu bukanlah hobi saya, inilah cara saya untuk mendidik kamu semua supaya menjadi orang yang berdisiplin. Hanya orang yang berdisiplin saja akan berjaya dalam hidupnya.
Jangan ingat ada guru biarkan saja kamu bebas bising, berjalan dalam kelas, itulah guru yang baik. Jangan ingat ada guru sengaja masuk kelas lambat, atau buat-buat lupa, atau buat-buat sibuk untuk tidak masuk kelas, dan kamu bebas naik atas meja, lompat atas kerusi, lari ke luar kelas, dan adakalanya kamu boleh sampai ke kantin membeli aiskrim, itu adalah guru yang baik!
Percayalah, kalau cikgu tak sayang kamu, cikgu akan biarkan kamu seperti itu. Cikgu marah kamu, kerana cikgu sayangkan kamu.

Friday, January 22, 2010

SESALI DIRI, SAYANGI DIRI...

Kerana rasa bosan dan geram di tempat kerja, saya telah menyepak pada sekeping dinding cermin. Cermin itu pecah dan memeranjatkan seluruh bahagian tempat saya bertugas. Untuk melindungi diri, saya telah berbohong dalam siasatan yang dilakukan oleh pihak majikan. Saya menyatakan saya tersepak cermin tersebut.
Namun tembelang saya pecah melalui cctv yang dirakamkan. Lantas saya diberi surat amaran. Itupun kerana rakan sekerja membuat rayuan dan membantu sedaya mereka. Pihak syarikat asalnya hendak memecat terus saya.
Saya rasa tertekan dengan surat amaran yang diberikan kepada saya. Saya juga amat marah kerana tipu helah saya tak menjadi, dan imej saya dari kaca mata rakan sekerja dan syarikat tercemar.
Beberapa minit sebelum masa tamat kerja hari ini, perasaan pendam saya telah meruap. Saya melakukan satu lagi sepakan untuk melempiaskan rasa geram saya. Kali ini saya tersepak satu kotak yang di dalamnya tersimpan produk syarikat. Sekali lagi seluruh jabatan saya terkejut. Saya diberitahu rakan sejabatan bahawa jumlah kerosakan kali ini mencecah RM12,000.00...

## menyesali kesilapan bermakna menyayangi diri. kalau kita mengaku pada diri kita bahawa memang kita telah salah, maka masalah akan berhenti di situ... dan sebaliknya...

Thursday, January 21, 2010

HANYA MELALUI SALAM

Sudah lebih sebulan tanpa berita dari kamu. Saya tak nak mengganggu kamu dengan sms dan panggilan telefon. Bukankah kamu kata akan men'sms' bila ada masa? Kenapa senyap...? Semalam kamu mengirim salam melalui seorang kawan kamu. Tempoh hari kamu juga mengirim salam istimewa melalui orang. Kenapa tak ucap salam terus kepada saya? Saya rindukan sms kamu dan juga suara kamu. Apakah saya hanya layak mendapat kasih kamu hanya melalui salam...?
"Asalamualaikum, sayang."

Sunday, January 10, 2010

TERLALU SIBUK UNTUK CINTA

Semenjak masuk tahun 2010, banyak perkara perlu diselesaikan. Sibuk sini dan sana. Terasa masa cepat berlalu. Pada masa yang sama terasa tak ada masa untuk menghayati cinta, cinta di sekeliling. Maafkan saya, cinta. Akan ku kembali dalam masa yang terdekat untuk bersamamu, cinta.
Love you, cinta. :-D