Tuesday, November 24, 2009

TABAHKAN HATI, SAYANG

Sayangku, kau telah berjaya mengharungi badai ini dengan jayanya. Saya amat berbangga dengan kamu. Kamu telah menunjukkan kecekalan yang luar biasa dan mencapai kejayaan yang luar biasa.
Lupakanlah pandangan keji manusia yang tidak mengenang budi dan terus ingin memperkecil-kecilkan keupayaan kamu itu.
Kita bukan hidup untuk mereka, kita hidup untuk kejayaan kita.
Sayang, tabahkanlah hati. Saya akan sentiasa bersama kamu menuju ke destinasi impianmu itu.

##Tahniah, because you are the BEST!

HATI SEORANG LELAKI MELAYU

Saya seorang lelaki Melayu yang biasa. Belajar taklah pandai sangat. Ligat sini sana adalah.
Saya ada seorang teman wanita. Dia cantik dan setia. Kami telah lama bersama. Dia adalah rakan sekelas saya di sekolah rendah dulu.
Bila usia dah mula meningkat 20an, saya masih tercari-cari kerja yang sesuai. Makwe lagi lah resah. Bilalah agaknya kami dapat disatukan. Namun keluarganya minta kahwin dulu, kerja bolehlah cari perlahan-lahan.
Saya akurlah akhirnya memandangkan semua orang berkata begitu. Saya disatukan dengan teman wanita saya dalam keadaan ekonomi saya yang tidak begitu baik.
Alhamdulillah, kami bahagia selepas berkahwin. Isteri saya akhirnya dapat kerja di Pejabat Daerah. Saya pula mendapat kerja di sebuah kolej yayasan negeri sebagai pemandu.
Kerja saya tidak tetap masa, tapi overtimenya banyak. Setiap bulan boleh mencecah RM3 - 4 ribu. Jadi tiba-tiba kaadaan ekonomi saya menjadi baik.
Mulut saya mula jadi besar terhadap adik-beradik saya, ibu bapa saya, dan juga isteri saya. 'Orang kaya baru' lah katakan.
Saya memasang angan-angan untuk tukar kereta tidak lama lagi. Dalam masa sibuk-sibuk pun saya sempat juga berkenalan dengan seorang guru tadika yang amat memikat hati saya. Saya selalu berjumpa dengan dia dan akhirnya kami bercinta. Selepas beberapa ketika, terdetik hati saya untuk mengambilnya sebagai isteri.
Adik-beradik saya yang mengetahui perkara ini tidak merestui kami, begitu juga dengan ibu saya. Isteri saya apa lagi menangis tak henti-henti dan meminta untuk diceraikan sekiranya saya berdegil untuk berkahwin lagi. Saya sayang isteri saya, saya cuba menenangkan dia dan memujuk hatinya. Tapi saya juga amat sayang pada wanita itu.
Kadang-kadang untuk menyedapkan hati semua orang, saya akan mengatakan saya dah putuskan hubungan dengan wanita itu. Perkara ini berlanjutan selama beberapa bulan.
Adik-beradik saya terus memujuk dan memberi tekanan kepada saya agar saya tinggalkan wanita itu. Isteri saya juga tahu saya masih bersama wanita itu. Saya rasa dia pernah memeriksa data dalam handfon saya. Kami juga sering bertegang berkait dengan perkara itu, sering saya kena memujuk dan 'menipu'nya.
Baru-baru ini saya menerima satu tamparan hebat. Saya ditamatkan perkhidmatan oleh majikan saya! Saya tak jangka perkara begini boleh berlaku.
Saya tak tahu bagaimanakah masa hadapan saya. Kalau keadaan tidak menjadi baik, saya terpaksalah bergantung kepada isteri saya selepas ini. Nasib baik kereta baru belum dibeli lagi, nasib baik saya belum kahwin yang ke-2 lagi.
Saya dah hilang hak untuk bercakap besar lagi. Kini saya menghantar dan mengambil isteri saya pergi dan pulang kerja. Dan mencari kerja yang sesuai untuk diri ini ... dan wanita itu ... saya tak tahulah...

Sunday, November 8, 2009

SURAT UNTUK SEORANG TEMAN...

Teman,

Apa khabar di sana? Sudah terlalu lama kita tak berhubung mahupun berjumpa... Ya, tak kurang daripada 16 tahun...
Maafkan saya kerana saya masih belum melupakan kamu. Saya juga selalu mencuba untuk menjejaki kamu setiap kali ada kesempatan. Walaupun tak pernah saya berjaya.
Orang kata, ada usaha, adalah hasil. Selepas sekian kali dan sekian lama, dapat juga saya 'menghidu bayang' kamu. Maafkanlah, kerana itupun tanpa pengetahuan kamu.
Kamu baru saja berkonvo Oktober lepas. Tahniah kerana berjaya mendapat sijil Sarjana. kamu telah melangkah satu tapak lagi dalam perjalanan hidup kamu.
Saya selalu bertanya, saya sering mencari ruang untuk menjejaki kamu, namun adakah kamu sering berusaha untuk mengelakkan diri dari saya? Dan diam tak diam masa telah jauh meninggalkan kita ...
Masa itu saya masih 20-an(26 agaknya), kamu 23 ya. Saya tak pernah meluahkan perasaan saya... namun saya memang sangat sukakan kamu. Saya rasa kamu pun senang dengan saya. Tapi saya ini pemalu, kamu juga tak pernah mencuba untuk menyatakan sesuatu.
Kini saya dah masuk 40-an. Kamu juga sedang menjejakkan kaki dalam zon ini. Umur 40... bagi sesetengah orang itu adalah usia yang dah tua. Saya perlu realistik untuk membayangkan kamu yang 20-an dan kamu yang 40. Sudah pasti tidak sama lagi. Saya sendiri rasa rupa saya dah berubah dari dulu.

Temanku,
Lupakanlah sama ada saya masih ingat, atau kamu mengelakkan diri, atau apa jua sebab yang menyebabkan kita terputus hubungan. Boleh tak kita cuba bertemu semula? Sebagai teman lama...
Saya dah hampir 10 tahun mendirikan rumahtangga. Saya tak tahu pun sama ada kamu sudah berkahwin atau belum.
Saya hanya ingin bertemu dan untuk mengetahui keadaan kamu. Bagi memenuhi hajat yang telah saya pendam selama berbelas tahun.
Kamu mungkin masih berada di Kota Bahru, saya masih di kota metropolitan ini. Andai kata kita dapat bertemu pun mungkin hanya seketika sahaja dan berjauhan mungkin selama-lamanya.
Itu sajalah hajat saya selama ini, biarpun selapas itu kita barangkali tiada ruang untuk bertemu lagi...
Saya doakan kamu bahagia dan sukses selalu.

Yang benar,

saya...
Teman lamamu.
9 November 2009