Thursday, August 13, 2009

DENDAM SEORANG WANITA

Pada suatu tengah hari, seorang rakan melihat saya mengangkat beg dan buku, lalu dia datang bertanya, "Boleh saya tolong?". Saya pula jawab,"Tolong bunuh saya!"

***
Saya telah mendirikan rumahtangga selama 9 tahun, mempunyai sepasang anak lelaki dan perempuan. Pada saya hidup saya sempurna kerana hidup saya tidak diganggu kontroversi.

Suami saya pula seorang guru agama. Dia selalu terlalu sibuk kerana selain mengajar di sekolah, dia juga mengajar di rumah orang. Sedikit kekurangan ialah dia jarang mempunyai masa untuk saya dan anak-anak kerana dia keluar waktu pagi sebelum anak-anak bangun. Dia balik ke rumah pula selepas kami semua dah tidur. Saya tak kisah sangat tentang itu. Saya menganggap tidak salah seorang suami bekerja keras demi kehidupan sekeluarga yang lebih baik.

Pada suatu malam, saya menerima satu panggilan telefon dari seorang ahli keluarga mengatakan suami saya mempunyai seorang lagi isteri di luar. Dan ia telah berlaku lebih setahun yang lalu. Alangkah terkejutnya saya. Tak sangka 'kerja kuat' dia bukan untuk keluarga ini tetapi untuk keluarga yang lain. Saya tak dapat menerima kenyataan ini. Saya tak rasa saudara saya ini berbohong kepada saya, dia tak perlu berbuat begitu.

Akhirnya perkara ini diakui oleh suami saya sendiri. Alasan yang diberinya ialah dia terhutang budi kepada keluarga wanita itu, dan dia meminta saya menerima kenyataan ini sebagai takdir Allah! Mudahnya cakap dia. Tapi saya tak dapat terima kenyataan ini. Dia sanggup korbankan saya dan anak-anak demi perempuan lain. Pasti anggapan dia saya ini terlalu bodoh untuk diperdaya.

Hanya 2 opsyen saya kepada dia, ceraikan isteri ke-2 atau saya undur diri. Bagi saya, saya tak boleh tahan untuk dimadukan. Akhirnya atas desakan pelbagai pihak termasuk ibu bapa dia, wanita itu diceraikan.

Keluarga saya seolah-olah telah kembali normal kini. Tapi saya tidak dapat lupakan wanita itu. Saya akui saya masih kuat berdendam dengan wanita itu. Tapi saya tak tahu siapa wanita itu.

Saya kembali hidup bersama suami saya yang pernah beristerikan wanita lain. Saya tak pasti adakah segalanya kembali seperti dulu. Kaca yang pecah mana dapat dicantumkan kembali tanpa rekahan? Dendam wanita bagaimana hendak dileraikan? Saya tak tahu ...## lelaki selalu mengejar sesuatu yang tidak difahami dan kekadang tidak disukai oleh kaum wanita. (gambar hiasan)

No comments: